Wednesday, May 20, 2009

BERAKHIRKAH AGENDA ZIONIS?


Konvensyen ”Berakhirnya Agenda Zionis” yang telah diadakan di Dewan Merdeka PWTC pada 9 Mei 2009 yang lepas dihadiri lebih 3000 peserta. Konvensyen yang dianjurkan oleh Aman Palestin dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) ini telah dirasmikan oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda. Bait-bait ucapan perasmian oleh Sahibus Samahah, Mufti kerajaan negeri Perlis ternyata mengesankan. Pertanyaan pertama beliau yang boleh kita renung dan fikirkan bersama ialah “Ada apa dengan Palestin?” Sungguh, Palestin merupakan tanah suci umat Islam seluruhnya. Kunci alam ini berada di Palestin. Apabila kunci kemuliaan dan kekuatan ini dibuka, seluruh alam boleh dikuasai oleh umat Islam dan begitulah sebaliknya, apabila Palestin lemah dan dikuasai, maka lemahlah umat ini. Zaman ini bukan zaman retorik. Bukan lagi zaman berkata-berkata. Zaman ini zaman bekerja, zaman berjihad, seperti kata Imam Hassan al-Banna, “Nahnu Qawm ‘Amaliyyun”. Sejarah sudah menyaksikan golongan yang lemah dan sedikit mampu mengalahkan golongan yang kuat dan banyak. Usaha, kerja keras dan perpaduan di kalangan Muslimin seluruhnya, mampu mengembalikan keizzahan umat. Dan ia tentunya bukan sesuatu yang mustahil kerana sejarah sudah membuktikan.

Tiga orang panel telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja. Saya dan dua lagi sahabat dari UIA sampai agak lewat dan kami terlepas untuk mendengar pembentangan pertama oleh Dr. Roslan Mohd Nor, pensyarah kanan di UM. Beliau ialah lulusan dalam bidang Kajian Jerusalem-Islam dan mendapat ijazah kedoktoran di Scotland. Kami juga terlepas pembentangan pertama oleh Dr. Azzam Tamimi, seorang aktivis politik dan ahli akademik Palestin. Beliau merupakan Direktor Institut Pemikiran Politik Islam (IIIT) di London. Seroang lagi panel ialah Dr. Mohsen Soleh, pengarah Al-Zaytouna Centre For Studies and Cosultations di Beirut sejak 2004. Beliau merupakan Profesor Sejarah Kontemporari dan Arab Moden. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun UIAM (1994-2004).

Dalam isu Palestin ini, kita sering bertanya, apakah yang mampu kita lakukan untuk sebuah Palestin?

Dr. Azzam Tamimi telah memberikan jawapan yang mengesankan.

1)Setiap dari kita wajib belajar dan mengkaji tentang sejarah dan perkembangan isu Palestin dan Zionis ini secara mendalam.

2)Mengetahui isu ini secara jelas dan menyeluruh. Adakah kita mahukan sebuah Negara Palestin? Palestin sudah dikuasai oleh Parsi, Greek, Muslim, tetapi tidak satupun dari kuasa-kuasa besar ini yang menghalau orang Islam dari bumi Palestin. Tetapi Zionis, menghalau orang Islam dan membawa orang asing untuk tinggal secara haram di bumi Palestin. Umat Islam tidak mahukan sebuah Negara Palestin di tanah lain. Kita mahukan rakyat Palestin tinggal tetap di bumi mereka, di tanah ibu dan bapa mereka (motherland). Kita mahukan tanah Palestin yang ada sekarang kekal menjadi milik rakyat Palestin khasnya dan umat Islam seluruhnya. Apabila Fatah, pada tahun 1974 ingin menubuhkan sebuah Negara Palestin di atas sekeping tanah yang lain, rakyat Palestin menolak mereka kerana meraka gagal mempertahankan tanah Palestin.

3)Menerangkan kepada orang lain tentang isu ini. Berapa ramaikah dari kita yang berminat dengan isu ini? Kita harus memainkan peranan menerangkan kepada orang ramai tentang isu ini dengan menjadi lampu suluh kepada orang-orang di sekeliling kita.

4)Menyokong organisasi yang membantu memperjuangkan perjuangan rakyat Palestin dan menentang Zionis.

5)Memboikot Israel dan syarikat yang secara jelas menyokong Israel.

6)Mendesak negara-negara Islam untuk memboikot Israel dan membentuk sebuah kem. (camp of resistance). Negara-negara yang dicadangkan untuk bersatu dalam kem ini ialah Turki, Iran, Syria, Sudan, Libya, Malaysia, Indonesia serta melupakan pertelingkahan mazhab (Sunni-Syiah).

7)Isu Palestin haruslah dijadikan isu tempatan, sama seperti yang pernah dilakukan dalam isu menentang dasar apartheid.

8)Setiap individu haruslah menggunakan segala kemampuan dan keupayaan yang ada padanya. Anda boleh memberi ceramah, menulis, membuat laman web dan lain-lain sehingga isu ini diterangkan dan sampai kepada dunia seluruhnya.


“Aku tidak mampu memberi jaminan bahawa Israel akan kekal bertahan selama 50 tahun, namun aku hanya berani memberi jaminan bahawa Israel hanya mampu bertahan sehingga 15 tahun sahaja lagi.” (David Ben Gurion, Perdana Menteri Israel yang pertama).


Friday, May 08, 2009

MASUKLAH DARI LIMA PINTU INI, WAHAI PARA PEMIMPIN!

Ketika keadaan politik di Malaysia masih belum benar-benar stabil, (terutama ketika merujuk kepada situasi di Perak), saya teringat catatan Bediuzzaman Said Nursi, tokoh mujaddid Turki yang membahagikan kehidupannya kepada Said Lama, Said Baru dan Said Ketiga, juga yang terkenal dengan Risale-I- Nur nya itu, tentang lima prinsip penting yang harus dipegang oleh para pemimpin.

Said menamakan kelima-lima prinsip yang harus dipatuhi oleh pemimpin dan negarawan ini sebagai pintu kerana hanya melalui pintu-pintu ini sajalah, sesebuah negara akan mencapai puncak kegemilangannya dan rakyat mampu hidup dengan aman.

Pintu pertama, menurut Said ialah kesatuan hati. Said yang ketika itu merujuk kepada Empayar Turki Uthmaniyyah, menyeru kepada kesatuan dan rasa kebersamaan seluruh rakyat dalam menentang nasionalis dan menentang orang yang menyeru kepada perpecahan.

Pintu kedua: Kecintaan kepada negara- Seluruh masyarakat haruslah mempunyai perasaan ingin mempertahankan negara dan bangsanya serta menanamkan rasa kecintaan dan kasih sesama mereka.

Pintu ketiga: Pendidikan- Kebudayaan dan pendidikan haruslah dijaga, diangkat dan dipertahankan. Memusnahkan dan mempertaruhkan pendidikan, bererti telah memusnahkan dan menggadaikan anak bangsa sendiri.

Pintu keempat: Usaha- Semua rakyat haruslah sentiasa diberi peluang untuk berusaha dalam mencari pekerjaan dan menerima bayaran yang setimpal dengan usaha dan kerjanya.

Pintu kelima: Menolak dan meninggalkan sikap suka bermewah-mewahan. Menurut Said, sikap inilah penyebab kepada penyakit-penyakit negatif di kalangan para pemimpin.


Adakah kelima-lima pintu ini telah pun berjaya dibuka dan dimasuki oleh para pemimpin kita? Dalam ripuh dan kacau-bilau politik, ayuh, renungkan bersama…

Monday, May 04, 2009

PERLIS DARUL SUNNAH


Beberapa buah papan tanda di sekitar Alor Setar, membuatkan kami sekeluarga dalam kereta tersenyum. Papan-papan tanda seperti papan tanda Nescafe yang bertulisan jawi dan ber"model"kan Farah Adiba (personaliti TV9)serta Farah Fauzana yang manis bertudung ternyata membuktikan MB Kedah, Ust Azizan sedang berdikit-dikit "meniru" negeri Serambi Mekah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz.

Alhamdulillah, ini perkembangan yang positif. Dan memang kami yang berada di utara semenanjung Malaysia ini tahu, bahawa masyarakat Kedah memang sedari dulu sangat mengiktiraf kepimpinan ulama', dan kita semua sedia maklum, Kedah punya banyak pondok-pondok pengajian (seperti di Kelantan). Dan banyak tokoh-tokoh ulama' tersohor lahir daripada negeri jelapang padi ini. (Tanpa menafikan tokoh-tokoh besar daripada Perlis seperti Dato’ Haron Din, Dato’ Hassan Din, Ust Mohamad Jusoh, Ust Ahmad Hamzah dan lain-lain)

Abah selalu merungut di rumah dan adakala dalam kereta tentang penerimaan masyarakat Perlis terhadap aktiviti-aktiviti keagamaan. Beberapa kali dia menyuarakan rasa kecewanya tatkala beberapa program bernuansa Islam dan pendidikan yang dianjurkan oleh "Titian Perdana" (Syarikat abah dan sahabat-sahabat- menganjurkan motivasi, kursus perkahwinan dan program-program pendidikan)kurang mendapat sambutan di Perlis. Berbeza dengan Kedah, kalau waktu Maghrib, berpusu-pusu orang ke masjid dan program surau di masjid akan sentiasa dipenuhi jamaah. Orang berlumba-lumba untuk belajar dan mencelikkan minda.

Ada seakan lompang-lompang penerimaan di kalangan masyarakat Perlis terhadap program-program sebegini. Jua beberapa siri penolakan terhadap kepimpinan ulama’, membuatkan ramai tertanya-tanya. (Cth: Masyarakat Perlis masih lagi “gentar” untuk menerima pimpinan Dato’ Dr. Haron Din.)

Adakah ia datang dari sikap rakyat Perlis itu sendiri (yang tidak gemar terhadap program-program Islami), atau adakah sikap ini terlahir daripada rasa ketakutan terhadap pemerintah? Ada beberapa halangan dan sekatan terhadap perkara dan program positif di Perlis suatu ketika dahulu. “Pengharaman” Ust Fattah Yassin daripada mengajar di Perlis, pemecatan Imam Besar Masjid Arau dan beberapa lagi siri-siri sekatan terhadap tokoh-tokoh agama di Perlis sewaktu pemerintahan lampau seolah-olah lampu hijau terhadap segelintir rakyat untuk berundur diri daripada menyertai program-program ilmiah sebegini . Mungkin ini benar kerana rakyat itu berdiri di atas agama pemerintahnya…


Masyarakat Perlis harus berubah, berhijrah... Mahukah kita lihat “Darul Sunnah” itu hanya akan tinggal jenama sahaja sampai bila-bila pun?

Sunday, May 03, 2009

SEKEPING HATI DIBAWA BERLARI…



Al-Ghazali merupakan salah-seorang mujaddid yang sangat saya “gilai”. Tentunya tulisannya tentang “hati” antara yang menakjubkan. Al-Mawdudi mengklasifikasikan hujjatul Islam ini sebagai salah-seorang mujaddid selain Umar al-Aziz, Ibn Taimiyyah, juga Shah Waliyullah. Dalam bukunya Munqidh Min al-Dolal, al-Ghazali mengiktiraf ahli sufi sebagai pencari kebenaran (the seeker of truth) yang sebenar setelah dia meneliti kandungan dan metod kelompok lainnya; mutakallimun, batiniyyah, dan ahli falsafah.

Al-Ghazali diiktiraf oleh sesetengah ulama’ dan pemikir Islam sebagai ahli tasawwuf sunni yang menyucikan kembali tasawwuf daripada anasir-anasir tasawwuf falsafi yang menyesatkan. Tumpuan utama tasawwuf ialah penyucian hati, dan sebetulnya inilah ajaran murni yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W dan layaklah Rasulullah itu sebagai model ahli sufi yang terbaik.

Manusia terdiri daripada dua komposisi; fizikal dan spiritual. “Hati” (soul) merupakan aspek spiritual dan ruhiyyah manusia yang merupakan aspek terpenting dalam pembentukan akhlak seseorang manusia. Apabila seorang teman bertanya tentang bagaimana untuk mendapatkan ketenangan hati, saya langsung teringat perbicaraan “hati” oleh hujjatul Islam ini. Hati itu seperti cermin, harus dibersihkan daripada debu kotoran agar dapat memantulkan refleksi dan imej yang sebenar.

Bagaimana membersihkan hati? Ia sudah pun digariskan oleh Ghazali dengan begitu jelas. “Mujahadah” dan “riyadah”. Seseorang manusia perlu berusaha dan dia boleh melatih dirinya untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia. Sedangkan binatang pun mampu dilatih, inikan pula seorang insan kerana hati itu berbolak-balik. Mampu didorong ke arah kebaikan dan mampu dicondong ke arah kebatilan. Dan atas dasar inilah, terdapat tiga peringkat hati yang diklasifikasikan oleh Ghazali: Nafsu al-Mutmainnah (yang selalu didorong ke arah kebaikan), Nafsu Lawwamah (yang adakala didorong ke arah kebaikan dan adakala ke arah kebatilan) dan Nafsu Amarah Bi al-Su’ (yang selalu didorong ke arah kejahatan).

Jadi, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita sama-sama berusaha untuk mendorongkan hati ke arah kebaikan. Ingat selalu pesan nabi, ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah manusia itu, dan sebaliknya, apabila ia busuk dan buruk, maka buruklah jua manusia itu. Dan seketul daging itu, ialah sekeping hati yang ada dalam diri setiap insani.

Sunday, March 08, 2009

PERHIMPUNAN RAKSASA 100 RIBU MANSUHKAN PPSMI (7 Mac 2009)
(Syabas buat semua pejuang dan pencinta bangsa dan bahasa!)


Selepas turun ke Demonstrasi Selamatkan Gaza di Stadium Melawati, Shah Alam tempoh hari, kali ini saya turun lagi ke jalanan, sebagai mahasiswi dan penulis muda, ingin menyuarakan rasa ketidakpuasan hati saya terhadap dasar yang mengorbankan anak bangsa ini. Saya dan Kak Saadiah, teman saya di UIA, tiba di Masjid Negara sekitar 1.30 petang. Lautan manusia berpakaian putih sudah berkumpul di sekitar masjid. Selepas bersolat Zohor secara berjamaah, gelombang rakyat mula bergerak ke Istana Negara. Dari jauh, saya lihat kelibat Dato’ A. Samad Said, Tuan Guru Haji Hadi, Ust. Nasharuddin Md. Isa dan Mat Sabu.

Dalam hujan renyai-renyai, kami sama-sama bergerak dalam gelombang kebangkitan rakyat menentang PPSMI. Anak-anak kecil, wanita, mahasiswa, mahasiswi, kaum Cina, India, golongan tua, yang berkerusi roda, semuanya ingin menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap PPSMI. Kenderaan yang lalu-lalang turut membunyikan hon dan melambai-lambaikan tangan mereka, tanda merestui dan turut bersama kami.

Separuh perjalanan, saya melihat kelibat Lutfi Ishak dan terus menegur. Turut kelihatan Abang Saifullizan Yahaya, Abang Marsli N.O, Datuk Baha Zain dan Abang Rahimidin. Dan ketika inilah, Abang Marsli N.O menerima panggilan telefon mengatakan FRU sudah melepas beberapa gas pemedih mata. Saya dan Kak Saadiah terus bersiap sedia dengan membasahkan tuala dan kata Abang Rahimidin, dia tidak mahu terus ke depan kerana dia asma.

Mata dan hidung mula terasa pedih dan berair. Seluruh muka juga. Ya. Perjuangan kami ingin digagalkan. Kami terpisah dari kelompok Lutfi dan rakan-rakan lain. Saya dan Kak Saadiah terus berlari mencari tempat untuk berlindung. Suasana kecoh dan kelam-kabut. Semuanya ingin mencari tempat berlindung. Kami terus masuk ke sebuah bangunan (KWSG) dan mencari air. Di situ ramai yang berlindung. Ada seorang anak kecil menangis tidak henti-henti, cuba ditenangkan ibu dan ayahnya kerana pedih terkena gas. Setelah hampir sepuluh minit, keadaan makin reda. Kami keluar dari bangunan dan ingin meneruskan perjalanan ke Istana. Lutfi menelefon bertanyakan keadaan.

Dari jauh kelihatan FRU terus-terusan melemparkan gas pemedih mata dan ramai yang meminta kami berpatah balik ke Masjid Negara kerana sebetulnya memorandum telah sampai di Istana Negara. Sedang dalam perjalanan balik ke Masjid Negara, kedengaran suara-suara riuh yang mengatakan Masjid Negara turut ditembak dengan gas pemedih mata walaupun permit telah diberikan untuk kami berhimpun di sana.

Begitulah kekejaman kerajaan terhadap rakyat yang ingin bangkit secara aman untuk menyuarakan rasa hati.. Selepas pelbagai saluran digunakan, kerajaan masih gagal memahami tuntutan rakyat, maka rakyat turun ke jalanan ingin memberikan mesej kepada kerajaan, KAMI BANTAH PPSMI. Dan beginilah rupanya perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan bahasa…


PPSMI sememangnya dasar yang dilakukan tanpa penelitian dan kajian yang mendalam. Setelah tujuh tahun dasar ini dipraktikkan di sekolah-sekolah, ia sememangnya sudah terbukti mengorbankan dan memangsakan pelajar-pelajar sekolah terutama mereka yang berada di luar bandar. Cendekiawan, para intelek, pakar bahasa, para pejuang sastera, penulis-penulis muda, mahasiswa mahasiswi dan seluruh rakyah marhean MEMBANTAH keras pelaksanaan dasar ini namun segala memorandum, kertas kerja dan perundingan dibakulsampahkan pihak kerajaan. Dasar ini tetap diteruskan dengan secara paksaan tanpa mahu mendengar keluhan dan suara rakyat. Benarlah kata Pak Samad Said, mereka ini adalah “pemimpin bertelinga satu dan berlidah dua.”

Tidak ada satu negara maju pun yang berlagak bijak seperti kita. Kesemua mereka menggunakan bahasa sendiri untuk mengajar subjek Matematik dan Sains yang memerlukan pemahaman yang mendalam. Kita ingin memandaikan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris, maka kurikulum pengajaran dan pembelajaran harus dikaji dan diteliti semula, adakah ia benar-benar berkesan dan kenapa ia masih gagal memandaikan para pelajar kita, terutama pelajar Melayu untuk berbahasa Inggeris? Bukannya dengan membuat dasar yang akhirnya meranapkan prestasi para pelajar dalam tiga subjek sekaligus, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Berapa ramaikan para pelajar sekolah yang telah kita korbankan semata-mata untuk memuaskan hati seorang bekas perdana menteri yang secara semberono memberikan idea untuk dasar ini dilaksanakan?

Bahasa Melayu telah terbukti sebagai bahasa yang kuat.. Bahasa Melayu bukan bahasa sembarangan. Kita telah lama bermula. Kini, penuturnya mencecah hampir 300 juta orang. Kata Datuk Tajuddin (BN) (Adun Pasir Salak) ketika berhujah di UIA dalam forum“Math and Science in English: Building or Destroying the Nation?”yang turut dihadiri oleh YB Salahuddin Ayup (PAS), Shamsul Iskandar (Keadilan), Datuk Hassan Ahmad (GMP) dan Khairul Anwar (PKPIM), kata Datuk Tajudin, Bahasa Melayu hanyalah bahasa perdagangan di zaman Kesultanan Melayu Melaka. In hujah dangkal! Sesiapapun tahu bahasa Melayu merupakan bahasa lingua franca ketika itu dan ia juga bahasa yang sudah pun mengalami proses Islamisasi bahasa. (Islamization of Knowledge) Dan dasar kerajaan hari ini merupakan proses ke arah pensekularan bahasa, seperti tulisan Naquib al-Attaas dalam bukunya Islam and Secularism, proses pensekularan adalah proses menyah-nilaikan sesuatu perkara. Dan ini yang kita tidak mahu terjadi dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

PPSMI ternyata adalah dasar yang GAGAL! Ia idea “gila” dan rakyat tengok orang yang membuat dan meneruskan dasar itu “macam orang gila” (meminjam petikan sajak Dinsman yang dibacakan di UIA dalam forum “Math and Science in English: Building or Destroying the Nation?”). Ini terbukti dengan ratusan ribu rakyat turun ke Masjid Negara, Sogo dan Pasar Seni berarak ke Istana Negara untuk sama-sama menyerahkan memorandum kepada Tuanku Sultan, memansuhkan PPSMI. Bukti yang nyata ini sudah cukup jelas bahawa rakyat ingin menghantar mesej kepada kerajaan, KAMI TIDAK INGIN BANGSA DAN BAHASA KAMI TERUS DIPINGGIRKAN!

TUNTUTAN KAMI:
1) Daulatkan bahasa kebangsaan
2) Selamatkan bahasa ibunda
3) Tingkatkan pengajaran Bahasa Inggeris
4) Mansuhkan PPSMI.

Friday, December 05, 2008

Muzium Arkeologi Lembah Bujang


Lembah Bujang meliputi seluruh kawasan selatan Pergunungan Jerai, meliputi tiga kawasan utama- kawasan bukit Sungai Merbok dan Lembah Sungai Muda serta kawasan pesisiran pantai meliputi daerah Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Seberang Perai. Kajian sejarah dan arkeologi telah membuktikan bahawa sekitar kurun ke 2 hingga 14 masihi Lembah Bujang merupakan salah satu pusat perdagangan utama. Ini terbukti dengan penemuan beberapa artifak penting di Lembah Bujang seperti tembikar celedon, tanah liat, pecahan kaca, manik-manik dan tembikar Persia.

Kuala Sungai Merbok yang terletak di lembah ini, menjadi tumpuan para pedagang tamadun-tamadun awal seperti China, India dan Arab singgah terutama ketika musim angin monsun. Di sini, para pedagang luar ini bertemu dengan para pedagang tempatan terutama dari sekitar Kepulauan Melayu- Srivijaya, Langkasuka, Khmer, Siam dan lain-lain.

Sebetulnya sudah beberapa kali melalui kawasan Lembah Bujang namun tidak pernah punya kesempatan untuk singgah. Dan beberapa minggu yang lalu, abah singgah jua untuk melihat kesan-kesan awal sejarah tamadun Kedah Tua ini, dan kami sempat singgah di Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak di Bukit Batu Pahat, Lembah Bujang.

Muzium ini telah dibuka dengan rasmi oleh Sultan Kedah pada 23 Januari 1980. Ini adalah muzium arkeologi pertama yang dibina di Malaysia, di bawah pentadbiran Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.


Ia adalah kawasan bersejarah arkeologi yang turut menempatkan Candi Batu Pahat, Candi Pangkalan Bujang, Candi Pendiat dan Candi Sungai Batu.

Untuk ke sana, gunakan lebuh raya Utara Selatan (PLUS) jika anda memandu dari Kuala Lumpur menuju utara ke Kedah. Jika memandu dari Perlis atau Alor Star,Seawal pagi, kami sekeluarga bergerak dari Perlis gunakan laluan ke selatan. Ambil susur keluar ke Sungai Petani. Dari sini, ikut arah jalan ke Merbok. Kemudian, cari papan tanda ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Penemuan beberapa artifak penting di Lembah Bujang dipamerkan di sini seperti manik-manik kaca dan batu dengan berbagai bentuk dan warna yang dijumpai melalui kerja-kerja ekskavasi. Manik-manik ini merupakan bahan-bahan dagangan perhiasan diri, bahan-bahan upacara keagamaan dan mata wang. Ia dibawa oleh pedagang-pedagang dari India.

Serpihan-serpihan kaca pula membuktikan wujudnya perdagangan antara Lembah Bujang dengan pedagang dari Asia Barat terutama dengan orang Arab dan Parsi pada kurun ke 9 hingga 13 Masihi.

Paling menarik perhatian kami tentunya penemuan dua keping matawang Perak dari Dinasti Abbasiyah, zaman Khalifah al-Mutawakkil (847-861H) yang ditemui di Pengkalan Bujang, Mukim Bujang, Kedah yang membuktikan wujudnya hubungan perdagangan antara Tanah Melayu dan Khilafah Abbasiyah sekaligus membuktikan tersebarnya Islam melalui perdagangan.

Turut dipamerkan di luar muzium ialah Perahu Sagor yang merupakan pengangkutan utama yang digunakan oleh masyarakat tempatan untuk mengangkut komoditi untuk dipasarkan di Kuala Sungai Merbok.


Menyaksikan kesan tinggalan tamadun awal, jelas membuktikan kepada kita bahawa orang Melayu dahulu, rajin dan bijak. Mereka rajin dan bijak berniaga sehingga kepualauan Melayu mampu menjadi pusat tumpuan perdagangan oleh kuasa-kuasa besar dunia ketika itu- China, India, Arab.

Harus diingat, berkat kerajinan dan kebijaksanaan merekalah kita hari ini dapat mengecap nikmat Islam dan Iman kerana kita tahu, perdagangan meruapakan salah satu wasilah sampainya Islam kepada masyarakat di seluruh kepulauan Melayu.

Saya terfikir, andai generasi dahulu masih wujud hingga hari ini, mereka tentu geleng kepala dan tersedu melihat generasi muda hari ini yang asyik dengan pelbagai benda yang melalaikan hingga sedikit demi sedikit tanah dan kekayaan yang menjadi milik kita diambil perlahan-lahan. Tidak seperti mereka dahulu yang berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat tumpuan masyarakat dunia.


* Nak upload gambar, tapi line internet kurang baik. Saya akan upload gambar-gambar sekitar lembah bujang, kemudian ya! :)

Tuesday, October 07, 2008

SALAM EIDUL FITRI 1429 H


Semoga Syawal membawa cahaya kebahagiaan dan barakah serta mengeratkan lagi tali sillaturrahim sesama kita.


SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI.

MAAF ZAHIR BATIN.




Salam Tulus Ikhlas daripada:


Ustaz Idris bin Yaacob
Cikgu Wan Zaliha bt. Megat Ali
Ghafirah bt. Idris
Sakinah bt. Idris
Shaafiqah bt. Idris
Mohd Miqdad bin Idris
Muhammad Wafie bin Idris